Monday, June 07, 2021

PAS Pasca Hadi Awang?

 Dulu orang risau, apa yang akan berlaku jika PAS tanpa Tan Sri Mohd Asri. Akhirnya, kerisauan itu terungkai apabila PAS berada dalam kegemilangan politik semasa era Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat- TG Dato Mohd Fadzil Nor – TG DS Abdul Hadi Awang. Kini, keadaan TGHH tidak sihat. Muncul persoalan, apa yang akan berlaku kepada PAS tanpa TGHH.

 

TGHH merupakan pemimpin terakhir generasi yang dihormati atas taqwa, ilmu, amal, jasa dan kekuatan jaringan antarabangsa. TGHH antara beberapa orang lama yang ditarbiah oleh Ikhwanul al Muslimin yang masih hidup. Dulu ada khabar angin, TGHH anggota Ikhwan sejak tahun 1969. Bahkan ada berita tak sahih menyatakan TGHH adalah SUA Ikhwanul Muslimin Antarabangsa.

 

Kepimpinan adalah persoalan kewibawaan, pengaruh, taat setia dan peluang-ruang. Lazimnya, PAS mempunyai tradisi syura dan wala’ yang tersendiri. Budaya Kepengikutan dalam PAS luar biasa. Peralihan kuasa biasanya berakhir dalam suasana harmoni.

 

Barisan depan PAS dilihat tidak memiliki sepakej TGHH-TGNA-TGFN. Bakal penganti paling kanan bagi jawatan Presiden PAS ialah DS Tuan Ibrahim Tuan Man tidak sama dengan generasi yang dihormati tetapi beliau boleh membawa PAS ke arah landasan baru yang lebih moderat. TITM tidak terpalit dengan bagasi takfiri dan seorang ulama menggunakan pendekatan ‘lembut’, moderat  dan lebih nusantara.

 

Kelemahan TITM mungkin boleh dilihat dari segi ‘kedalaman’ ilmu secara individu berbanding TGHH-TGFN, tidak berapi-api dalam pidato, kurang penulisan dan kurang jaringan antarabangsa. Punbegitu perkara ini boleh diatasi oleh usaha kolektif Majlis Syura Ulamak PAS dan JK PAS Pusat.

 

Cabaran PAS tanpa TGHH, budaya tarbiah dan wala’ cuba dimamah oleh budaya material dan kedudukan. Politik mengatasi tarbiah. Muncul kartel-kem politik yang berdasarkan tokoh dan aliran pemikiran tertentu.

 

Penulis menjangkakan kebangkitan satu puak baru yang selama ini terpinggir ekoran TGHH lebih senang dengan kelompok utama yang mengelilingi TGHH. Penulis menjangka jawatan utama Timbalan Presiden PAS menjadi medan utama perebutan kelompok pinggiran dengan kelompok mengeliling TGHH. Begitu juga jawatan naib presiden dan AJK PAS Pusat. Calon-calon yang menarik bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden ialah Dato Seri Ahmad Samsuri, Dato Ustaz Idris Ahmad dan Ustaz Dato Nik Mohd Amar serta seorang calon tambahan Ustaz Zaharuddin Muhammad. Secara peribadi, penulis lebih menyukai kedudukan Timbalan Presiden PAS dipegang oleh seorang teknorat dan tidak memegang jawatan pentadbiran dalam kerajaan. Cukuplah beliau seorang senator sahaja. Jika nama-nama di atas dicalonkan, penulis lebih cenderung kepada DS Dr Ahmad Samsuri untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden PAS yang baru.

 

Akhir-akhir ini, kita sukar mencari pemimpin yang betul-betul berakhlak dan berdisiplin. Langgar disiplin dan tunjuk kekayaan-kenikmatan hidup ketika rakyat susah adalah perkara yang tidak wajar walaupun tidak berniat sedemikian. Anda figura tontonan masyarakat, bukan perlu beri nasihat sahaja tetapi mesti tunjuk tauladan yang baik kepada orang ramai. Satu lagi cara memberi tazkirah dan menulis. Beri kefahaman agama itu bagus, tetapi pendekatan agamawan memahamkan orang ramai tidak kena pada tempatnya. Cara menyampaikan itu kena betul.  Akhirnya agama terpalit buruk dan hodoh ekoran kesilapan agamawan. Apatah lagi agamawa tersebut merangkap pemimpin.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...