Sunday, June 04, 2017

Dilema Pengupayaan Intelektualisme Dalam Masyarakat Kampus.


[ Pra Artikel Watak Pemimpin Mahasiswa Dan Politik Kampus 2]

Antara dilema intelektualisme di kampus ialah

1.       Sukar mencari pendekatan yang mudah dalam penataran agar hujah atau dalil mudah dihadam oleh para mahasiswa.
2.       Kesukaran mempraktiskan gagasan pemikiran ke alam realiti dan lapangan masyarakat atau kampus.
3.       Sikap dingin para mahasiswa terhadap budaya ilmu dan intelektual di kampus
4.       Isu atau wacana yang terlampau tinggi yang tidak digemari oleh sebahagian besar mahasiswa.
5.       Wacana menjadi medan syok sendiri. Mengkhayal-ganjakan diri sesetengah mahasiswa yang mengulatinya kononnya sebagai intelek muda, ahli fasafah dan pemikir muda. Akulah yang genius, berfalsafah dan berstrategis.
6.       Intelektualisme dijadikan alasan pembentukan jurang dalam kasta pemikiran yang dikatakan eksklusif dan elitis.
Para mahasiswa tidak perlu alergik dengan intelektualisme. Sebahagian pemikiran-falsafah sendiri berasaskan jenaka. Falsafah-pemikiran Melayu banyak juga tertanam dalam sendi bahasa. Memujuk para mahasiswa meminati atau mendekati majlis keilmuan sememangnya cabaran besar terutamanya zaman media sosial yang menganasi MASA kita. Inilah cabaran kita dalam menambah pahala kita untuk menyeru para mahasiswa mendekati majlis ILMU.

Pada hemat penulis, intelektualisme di ruang awam lebih menjurus kepada

1.       Usaha kita memahami sesuatu perkara atau isu lebih jelas dari segi fungsi, konsep, istilah, teori, sejarah dan psikologi. Dalam usaha ini, muncul hipotesis, tesis, anti-tesis dan sintesis. Ia juga melahirkan teori dan kerangka pemikiran atau set idea-berfikir untuk memahami dan menyelesaikan persoalan dan permasalahan.
2.       Permasalahan atau persoalan dalam sesuatu perkara yang menimbul semangat inkuiri melalui soalan dan jawapan. Maka timbul persoalan bagaimana, mengapa, dimana, siapa, kenapa dan apa yang mengerakkan aqal dan hati mengunakan pancaindera merungkai permasalahan atau persoalan sehingga menerbitkan maklumat, ilmu, pengalaman dan kemahiran  baru.
3.       Ruang diskusi atau wacana yang membuka perbahasan, perbincangan, sumbang-saran dan kritikan terhadap permasalahan atau persoalan dalam sesuatu perkara.
4.       Penyediaan suatu solusi atau alternatif dalam menyelesaikan persoalan atau permasalahan. Penyelesaian ini dilakukan secara berstrategi dan memahami permasalahan atau persoalan dalam kerangka pemikiran yang jelas.

Pada pandangan penulis, fokus pembudayaan dan pengupayaan intelektualisme di kampus terbahagi tiga iaitu:

A. Pengukuhan aqidah Melalui Pandangan Alam (worldview) Islam yang Betul .

Mahasiswa yang mempunyai Pandangan Alam Islam yang benar sahaja dapat mengukuh dan mempertahankan aqidah diri dan umat Islam. Pandangan Alam Islam dikukuhkan dengan ilmu bukannya sekadar semangat. Rahsianya ialah pengkajian kitab-kitab turath sama ada kitab arab atau jawi diikuti dengan pengkajian kitab para ulama masa kini.

Antara buku atau kitab yang boleh dijadikan asas pengkajian Pandangan Alam Islam ini ialah
1.            Risalah Untuk Kaum Muslimin karya Syed Muhammad Naquib al Attas
2.            Islam dan Sekularisme karya Syed Muhammad Naquib al Attas
3.            Prolegomena to the Metaphysic of Islam karya Syed Muhammad Naquib al Attas
4.            Himpunan Risalah Imam Hassan al Banna
5.            Ceramah-ceramah Hassan al Banna
6.            Towards Understanding Islam karya Maulana Abul Ala’ al Maududi
7.            Islamic Way of Life karya Maulana Abul Ala’ al Maududi
8.            Petunjuk Sepanjang Jalan karya Sayyid Qutb
9.            Muqawwimat al Tasawwur al Islamiy karya Sayyid Qutb
10.          Khasa’is al Tasawwur Islamiy karya Sayyid Qutb
11.          Al Tawhid: Kesannya Terhadap Pemikiran dan Kehidupan karya Ismail al Faruqi
12.          The Reconstruction of Religious Thought in Islam karya Muhammad Iqbal
13.          Ensiklopedia Sirah karya Afazlur Rahman
14.          Himpunan Ceramah-ceramah Imam Hassan al Banna
15.          Syeikh Ismail Bin Abdul Qadir al Fatani, Bakurah Amani
16.          Abdul Ghani Yahya & Umar Yusuf, Risalah at Tauhid

Dalam pengkajian ini, kita cuba meluruskan Pandangan Alam Islam kita memahami satu konsep-istilah berdasarkan kaca mata Islam yang rujukan utamanya ialah al-Quran, as Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qiyas bukannya menjadikan pandangan orientalis sebagai rujukan yang perlu diikuti. Justeru, para mahasiswa perlu lebih berwaspada agar tidak terpengaruh dengan produk pemikiran bersumberkan pemikiran orientalis seperti Muslim Demokrat, Islam Progresif, Islam Hadhari dan Islam Nusantara.

Kita boleh menghormati perbezaan pandangan para sarjana atau ulama Islam dalam mentafsirkan atau berijtihad dalam menerima pendekatan dan konsep-istilah seumpama Muslim Demokrat dan Islam Nusantara tetapi kita perlu berwaspada agar tidak timbul suatu fitnah dan mudharat lebih besar apabila menerima dan memperjuangkan konsep-istilah dan pendekatan ini kepada umat Islam. Jangan semaikan kekeliruan dalam diri umat Islam.

Worldview Islam boleh disimpulkan dengan berpasak kepada tauhid yakni merasa yakin dan menjadi saksi bahawa, ‘TIADA TUHAN SELAIN ALLAH’. Daripada kalimah inilah worldview Islam terbentuk sekaligus menjadi panduan tindakan seseorang muslim. Tauhidlah yang memberi rupa kepada peradaban Islam berbeza dengan tamadun Barat.[Ismail al Faruqi].
Perkasakan dalam diri mahasiswa [1] Hanya menerima al-Quran dan as-Sunnah tanpa kompromi dalam bab pemikiran [2] Islam sebagai satu cara hidup, [3] Islam adalah satu penyelesaian dan [4] menerima Islam secara keseluruhan dan kolektif bukannya selektif. Insya Allah selamat dunia dan akhirat.

B. Kefahaman Terhadap Sesuatu Isu atau Perkara.

Pengupayaan intelektualisme menjuruskan kepada kefahaman terhadap isu atau perkara dalam konteks ilmu melalui pembacaan, perbincangan, wacana atau persidangan meja bulat bersama pakar. Kita kena memahami konsep, bagaimana ia terjadi dan cara mengatasi sesuatu isu atau perkara.
Mahasiswa mesti hadam sesuatu isu agar perjuangan mereka tidak hanya berdasarkan semangat, ikut-ikutan atau menjadi balaci mana-mana pihak terutamanya parti politik.
Apabila timbul persoalan atau permasalahan perumahan rakyat di bandar, watak pemimpin mahasiswa akan mengkaji bagi menyediakan satu alternatif menyelesaikannya.
Bayangkan dalam pilihan raya, gerakan mahasiswa mengemukakan manifesto dan rancangan pembangunan negara sendiri sebagai alternatif kepada manifesto dan rancangan pembangunan pihak kerajaan atau pembangkang. Begitu juga pembentangan bajet, gerakan mahasiswa boleh menyediakan bajet alternatif.

C. Pemikiran strategi.

Pemikiran strategi melatih para mahasiswa berfikir secara tersusun. Antaranya alat latihan pemikiran ini ialah kaedah SWOT dan BMC (digunakan dalam bisnes) yang boleh dijadikan pendekatan dalam berfikir. Seorang bakal pemimpin mesti berfikir secara jitu yakni membuat keputusan yang pantas dan betul serta mempunyai wawasan.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...