Thursday, November 24, 2016

AQAL




Oleh Permata Dalam Cahaya

Beraqal mengambarkan kecerdikan, kebijakkan dan kearifan seseorang. Perpatah Melayu menyatakan, ‘pemimpin arif pemimpin sejati, sempurna akal mulia pekerti’.
Hamka menyatakan, aqal ertinya ialah ikatan. Perpatah Melayu juga menyatakan ‘mengikat binatang dengan tali, mengikat manusia dengan aqalnya’. Pada istilahnya, aqal adalah pengetahuan akan perkara yang mesti diketahui.
Tuan Guru Salleh Musa dari Sik dalam syarah kitab Bakurah Amani menyatakan, aqal ialah satu sifat yang Tuhan bubuh (letak) dalam hati sunubari dan bersambung kepada otak kepala.
Hati sunubari  -> Otak Kepala

Menurut Dr Syed Muhammad Naquib al Attas, aqal merujuk ‘suatu kejadian yang sedar lagi giat yang mengikat dan menahan perkara-perkara yang diketahui itu dengan kata-kata atau bentuk-bentuk simbolik’.
Menurut al Marbawi, aqal itu ialah memahami hakikat sesuatu. Dapat memahami maksud. Pada pandangan Dr Muhammad Uthman el Muhammady, hakikat aqal ialah merealisasikan atau menyedari sesungguhnya bahawa La ilaha illa’Llah iaitu mengetahui bahawa akhirnya Hakikat Yang Mutlak itu adalah Esa-Nya jua.
Menurut Buya Hamka, aqal terbahagi  dua iaitu [1] didapatkan dengan pancaindera dan [2] permulaannya dari dalam hati sendiri.
Bahagian hukum aqal boleh dilihat dalam jadual di bawah
Hukum Aqal
Penerangan
                           Penjelasan


Wajib ‘aqli

Perkara yang tiada diterima aqal akan tiadanya, hakikatnya mesti menerima ada
Wajib ‘aqli Dhohuri
Menghukum sesuatu itu tetap adanya dengan tiada berkehendak kepada bahasan dan mendirikan kenyataan

·         1 < 2
Wajib ‘Aqli Nazhori
Sesuatu perkara yang perlukan seseorang itu untuk berfikir dan juga memerlukan dalil seperti kewujudan Allah SWT.

Seseorang perlu berfikir dengan aqal serta mengemukakan perbahasan-perbahasan yang kukuh bersertakan dalil-dalilnya.

Mustahil ‘aqli

Perkara yang tiada diterima aqal akan tiadanya, hakikatnya mesti tiada
Mustahil ‘Aqli Dhohuri
Menghukum sesuatu tetap tiada dengan tiada berkehendak kepada bahasan dan mendirikan dalil

·         2< 1
Mustahil ‘Aqli Nazhori
Sesuatu perkara yang perlu difikirkan dan mendirikan dalil-dalil

Harus ‘aqli

Perkara yang diterima aqal adanya dan tiadanya dengan jalan berganti-ganti, maka hakikatnya boleh menerima ada dan tiada.
Harus ‘Aqli Dhohuri
Menghukum sesuatu boleh terima ada dan tiada secara berganti-ganti dengan tidak berkehendakkan bahasan dan mendirikan dalil
Harus ‘Aqli Nazhori
Sesuatu perkara yang perlu difikirkan dan mendirikan dalil

Aqal boleh menerima ilmu nazhariyyah yakni pengetahuan yang berkehendakkan fikir dan boleh mentadbir segala pekerjaan/perbuatan dan menyelesaikan persoalan/permasalahan pemikiran yang sukar dan terpancar pelbagai manfaat dan bahagia kepada manusia.
Aqal tidak boleh bersendirian, jika tidak aqal sejahtera, aqal sihat dan aqal waras tidak dapat dihasilkan. Aqal memerlukan undang-undang/peraturan syariat dan syariat berhajat kepada aqal tetapi aqal itu sendiri tidak boleh mengatasi undang-undang syariat dengan mengakuri dan mematuhinya.
Saluran ilmu Islam terbahagi 3 iaitu [1] pancaindera yang sejahtera, [2] khabar yang benar dan [3] aqal yang sihat [ditambahi dengan waras dan sejahtera].
Aqal mempunyai dua fungsi atau peranan yang boleh bertindak sebagai [1] sumber ilmu dan [2] alat berfikir. Para ulama mengunakan aqal dalam sumber perundangan Islam setelah tiada nas dalam perkara yang ingin diselesaikan Antara sumber ilmu dan perundangan Islam berdasarkan aqal ini dikenali sebagai  Qiyas dan al Masalih al Mursalah.
Dalam Islam, tiga perkara yang sangat penting sebelum ada taklif bagi para mukallaf iaitu [1] niat, [2] baligh dan [3] beraqal. Tiga syarat inilah mengabsahkan setiap amalan orang beriman.
Aqal sebagai alat ilmu atau alat berfikir. Buya Hamka menyatakan, ‘aqallah alat untuk berfikir, dialah hulu hikmat. Lantaran aqal, datanglah taklif perintah agama.
Aqal adalah alat untuk mengenal Tuhan. Aqal juga membolehkan kita mengenal-bezakan perkara yang baik dan buruk, iman dan kufur. Aqal juga digunakan untuk manusia mengkaji kejadian alam [untuk mengenal Allah melalui kebesaran kejadian alam milik Allah] dan meningkatkan pembangunan tamadun dan kesejahteraan manusia.
Ada sesetengah manusia menyalah-gunakan aqal. Dalam faham Islam, istilah aqal itu membawa diri seseorang itu beriman dengan mengikat diri orang tersebut dengan iman dan Islam.  Muhammad Uthman el Muhammady menyatakan Al Quran memanggil orang sesat dalam Islam sebagai orang yang tidak dapat mengunakan aqal: la ya’qilun iaitu mereka yang tidak dapat mengunakan aqal dengan cara yang sebenarnya. Dengan ini, manusia yang beraqal ialah manusia yang mengikat diri mereka dengan simpulan tali iman dengan kemas.
Kebudayaan Barat mengunakan istilah bahasa  yang berasal daripada bahasa Latin. Istilah bahasa mempengaruhi corak kefahaman dalam pandangan alam seseorang yang menganuti Kebudayaan Barat atau mendapat pendidikan Barat. Antara perkataan itu ialah intellectus (intelligence) dan ratio (reason). Intellectus berfungsi merenung hakikat rohani manakala ratio adalah alat memahami dan menguasai alam zahir-tabii.
Berlaku pertembungan antara intellectus telah menindas ratio berlaku pada abad ke 4 hingga 13 Masihi ekoran ajaran Augustine yang terpengaruh dengan pemikiran Plato. Selepas abad ke 13, Aquinas telah memasukkan pemikiran Aristotle dan pandangan alam Romawi ke dalam pandangan alam Kristian. Ratio lebih kedepan dan diutamakan berbanding intellectus.
Apabila mereka melakukan penduaan—memisahkan dua hakikat dan kebenaran terhadap alam tabii dan alam rohani.  Daya kebolehan intellectus dan ratio  disangsikan. Akhirnya mereka menerima dorongan daya-kasih atau love sebagai dasar kepercayaan.
Selepas abad ke 13 Masihi, penggunaan ratio memberi cabaran besar apabila muncul kelompok mencabar aqidah agama Kristian dengan memutuskan hubungan dengan hakikat kerohanian termasuk mempersoalkan kewujudan Tuhan. Faham ini dikenali rationalisme. Kemudian muncul naturalisme atau faham alam tabiie ke dalam pandangan alam Kristian mengakibatkan keruntuhan agama Kristian Lama ekoran kemaraan Falsafah Sains dan kelompok sekular sehingga mewujudkan agama Kristian Baru.

Sumber
Ismail Bin Abdul Qadir, Bakurah Amani
Abdul Ghani Yahya & Umar Yusuf, Risalah at Tauhid
Syed Muhammad Naquib al Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin
Muhammad Uthman el Muhammady, Peradaban Dalam Islam
Mohd Zaidi Ismail, Aqal Dalam Islam
Hamka, Falsafah Hidup
Tenas  Effendy, Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu


No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...