Tuesday, December 01, 2009

ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN: DINILAI PADA HARI KEMATIAN?


Manusia adalah makhluk yang akan berubah sama ada dalam bentuk fizikal, pemikiran, emosi dan paling besar ialah hidayah. Perubahan ke arah positif adalah terpuji, manakala perubahan ke arah negatif adalah mencelakakan. Inilah yang membimbangi kita jika kita tergolong dalam golongan yang mempunyai penghabisan nafas terakhir dalam golongan celaka bukannya berhidayah.

Terbaca saya dalam sebuah buku yang memetik kata masyhur daripada John Maynard Keynes:

‘Apabila fakta berubah, saya mengubah fikiran saya’

Jika memperolehi fakta yang baru, kebarangkalian seseorang untuk berubah pemikirannya adalah tinggi. Jika ditambah dengan dorongan material dan emosi (pujukan syaitan, nafsu dan orang tersayang dan berkepentingan), istiqamah dalam perjuangan akan layu. Teringat saya ketika TG Fadzil Noor meninggal dunia, TG Haji Hadi berkata dalam maksud lebih kurang begini ‘beruntung ustaz kerana matinya dalam perjuangan, kita belum tentu lagi’. Sejarah membuktikan Ustaz Nakhaie (mantan Naib YDP PAS Pusat), Ustaz Latif Besut, Ustaz Mustafa Taib, Ustaz Mohamad Nor Deris dan Dato Asri meninggalkan perjuangan sedangkan mereka bukan sebarangan pimpinan. Mehnah dan jasa mereka jangan kita persoalkan. Tak termampu dijangkaui kita.

Dalam soal pemikiran, ramai pemikir tidak istiqamah akan perjuangannya. Pemikir Islam seperti Nucholis Majid atau Cak Nur(mantan pimpinan Himpunan Mahasiswa Islam Indonesia-HMI) dididik oleh Buya HAMKA telah beralih arah kepada pemikiran liberal. Begitu juga Abdul Rahman Wahid atau Gus Dur (pimpinan Nadhatul Ulama) yang pada mulanya berfikiran tradisional Islam berubah kepada pemikiran liberal. Tidak terkecuali Dato Seri Anwar Ibrahim yang dididik-bersahabat oleh ramai pemikir dan ulama ternama seperti Syed Naquib al Attas (ideolog utama Anwar semasa zaman mahasiswa), Dr Yusof Qaradhawi dan Dr Ismail al Faruqi telah beralih arah kepada pemikiran liberal.

Dalam politik, tokoh-tokoh pro mahasiswa menggugat seperti Johan Che Pa, Saifudin Nasution, Mustafa kamil Ayub, Asraf Wajdi Dasuki, Ahmad Shabery Cheek, Saifudin Abdullah( Presiden PBMUM yang dipayungi PKPIM-ABIM), Ibrahim Ali, Kamarudzaman Yaakob, Ahmad Zahid Hamidi, semuanya menongkah arus menyokong parti nasionalis-kapitalis yang ditentang mereka.

Amat sukar untuk kita mengagumi tokoh yang belum mati kerana mereka boleh berubah. Kekaguman kita harus bertempat dan berkadar serta cuba memahami mereka boleh berubah. Jika mereka berubah, kita tentang!.

Untuk mengkaji dan mengagumi idea tokoh luaran daripada pemikiran kita, tiada masalah. Mengkaji dan mengagumi mereka bukan bermakna kita menyokong mereka. Apapun terlebih afdal kita menolak terus idea berasaskan pemikiran manusia yang bernafsu tersebut.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...