Tuesday, March 04, 2008

FALSAFAH PERJUANGAN MAHASISWA

Falsafah Perjuangan Mahasiswa: Perlukah Satu Penilaian Semula?.

(mamat_com)
tokawang_sufi@yahoo

Menurut Mohamad Abu Bakar, falsafah perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai pelajar universiti, sebagai rakyat yang dewasa dan situasi mereka sebagai individu yang terdedah dengan pengolakan dunia semasa. Ketiga-tiga elemen ini memberi impak yang besar dalam pembentukan jati diri mereka.Universiti merupakan medan interaksi antara mahasiswa dan interaksi mereka dengan penguasa universiti. Pentadbir universiti sendiri merupakan penguasa yang mempunyai kuasa politik yang boleh membuat keputusan sehingga mewujudkan fenomena konflik dan kerjasama di alam kampus. Pengunaan kuasa yang melampau oleh penguasa universiti semakin memeriahkan suasana perjuangan mahasiswa. Kerana roh perjuangan dapat diabadikan dalam naluri seseorang mahasiswa.

Mahasiswa dan pelajar sekolah merupakan konsep yang berbeza, dimana pelajar sekolah adalah golongan bawah umur yang dikawal oleh cik+gu mereka sedangkan mahasiswa adalah sekelompok anak-anak muda yang bergerak secara bebas sebagai orang dewasa. Universiti adalah medium pemprosesan kematangan mahasiswa sebagai orang dewasa. Di sini, berlaku pemupukan idealis di kalangan mahasiswa dengan suasana pertembungan aliran pemikiran yang mewarna-warnikan kehidupan kampus. Konsep kebebasan, keadilan, hak asasi, kebenaran dan reformasi dicampur aduk dengan resepi aliran seperti Nasionalisme, Islamis, Liberal dan Sosialis melahirkan konflik pemikiran yang akan mematangkan pendewasaan mahasiswa.

Mahasiswa adalah golongan terpelajar perlu menjadi jurubicara masyarakat dan kelompok alternatif kepada pihak penguasa dan parti oposisi. Budaya perbedaan pendapat harus dicanang dalam suasana ilmiah melalui perdebatan dan sudut pidato. Mahasiswa juga seharusnya berperanan menyedarkan masyarakat dengan ilmu yang benar. Ilmu yang benar adalah ilmu yang boleh mentranformasi pemikiran dan budaya masyarakat setempat sesuai dengan kemampuan kita sebagai pengubah minda mengikut profesyen masing-masing.

Keseronokan perjuangan semakin rancak apabila ada cabaran yang datang terutamanya dari penguasa. Akta seperti AUKU merupakan asas unggul kepada perjuangan mahasiswa yang semakin dicabar. Ungku Aziz menyebut ‘belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak maju tanpa pemimpin pengalaman(mencabar) dan terpelajar’. Pengalaman mencabar ini merupakan asas kepimpinan negara. Tokoh pimpinan negara seperti Anwar Ibrahim, Noordin Razak dan Ibrahim Ali merupakan hasilan daripada alam kampus. Pengalaman dan pendidikan yang diterima membolehkan mereka dapat memimpin sesebuah organisasi dengan baik semasa dalam kerajaan, ABIM atau UMNO.

Penguasa sama ada di varsiti atau negara amat takut kepada kejatuhan hegemoni kuasa dan telah melakukan tindakan kasar menjatuhkan gerakan mahasiswa. Tindakan menjatuhkan gerakan mahasiswa adalah adil bagi penguasa kerana berasa terancam. Konflik adalah fitrah alam dan ia sebenarnya memeriahkan suasana alam ciptaan Ilahi ini. Konflik antara penguasa dengan gerakan mahasiswa adalah normal dan mahasiswa mesti menyahut cabaran penguasa dengan semangat perjuangan yang kental walaupun sekali sekala tindakan kasar penguasa agak keanak-anakan dan luar biasa. Mehnah ini menambah pengalaman seseorang mahasiswa bagi menghadapi mehnah selepas alam kampus.

Pertempuran jalanan dengan penguasa merupakan medium purba yang tidak relevan pada masa kini. Jikalau kita menyelinap dalam buku sejarah, perjuangan kekerasan telah berakhir semasa pimpinan Noordin Razak bagi PBMUM(1971) dan Kamarazaman Yaakob serta Hishamuddin Rais dari PMUM(1974). Selepas itu perjuangan mahasiswa diteruskan dalam suasana peperangan saraf dan bersifat pasif seperti memorandum dan surat layang. PBMUM sebagai contoh menggunakan pendekatan toleransi semasa Mahadzir Khir [kini, timbalan Menteri Pelajaran] dan PBMUMlah yang membantu universiti mengagalkan rampasan kuasa pelajar 1974 oleh PMUM sehingga Ungku Aziz dihalau keluar dari UM. PBMUM ketika itu dibawah pimpinan Aziz Shamsudin (Timb.Menteri Pendidikan, kini Menteri Luar Bandar) dengan menyokong paksi Majlis Tindakan National (MTN)(masa itu PBMUM bukan bawah pengaruh Anwar) menewaskan MTS PMUM.

Kini, perjuangan mahasiswa haruslah mempunyai aspirasi mahasiswa yang tersendiri supaya tidak dikongkong ideologi penguasa atau parti oposisi serta badan NGO yang Islamis, Sosialis, Sasteraisme dan pelbagai isme. Pemilihan idealis perjuangan mahasiswa bergantung kepada perlembagaan persatuan dan kemahuan mahasiswa sendiri. Secara kolektif, perjuangan mahasiswa haruslah berlandaskan keilmuan yang benar yang menyedarkan rakyat melalui pelbagai cara dan meliputi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi dan sosial. Mahasiswa bukan sekadar filosof atau tukang pidato penggegar podium semata-mata tetapi pelaksana atau pengusaha yang thabat (lebih dekat dengan makna: penerusan perjuangan) dalam perjuangan walaupun cabaran mendatang. Kerja lebih utama daripada propaganda.

Pada masa sekarang, kelesuan gerakan mahasiswa tidak boleh dinafikan kerana mahasiswa terpengaruh budaya hedonisme yang terlampau, budaya study terlampau sehingga memekak telinga, membisu dan membuta mahasiswa terhadap suasana persekitaran, dan kesan tribulasi daripada penguasa sendiri. Mahasiswa sendiri perlu melakukan tindakan drastik dalam menyedarkan sahabat mahasiswa tentang peranan seorang mahasiswa. Semangat perjuangan boleh dibentuk secara usrah, pesta kegembiraan seperti teater, muzik dan filem(dengan syarat bersifat patriotik dan revolusi) dan ajakan mesra para daie mahasiswa.

Peranan mahasiswi dara (baca:wanita) sekarang juga bertambah penting dengan meningkatnya fahaman feminisisme di kalangan masyarakat. Mahasiswi haruslah mewujudkan wacana atau wadah mereka sendiri sesuai dengan fikrah dan fitrah kewanitaan itu sendiri. Kuasa mahasiswi akan menjadi tonggak penting dalam perjuangan gerakan mahasiswa pada masa akan datang.

Kalam akhiranku:Kata iman syahid Hasan al Banna: ‘asas iman ialah jiwa yang bersih,asas semangat ialah perasaan yang kuat,asas kerja ialah keazaman yang kuat.Semua sifat ini dimiliki oleh pemuda’. Anak2 muda(baca:mahasiswa) yang mahu perubahan secara tergesa-gesa sehingga terlupa kemampuan mereka dan siapa diri mereka (hayati filem Hishamuddin Rais).

mamat.com
dikemaskini 22.3.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...